Rabu, 28 Disember 2011

13 Tips Terbaik Untuk Berhenti Merokok


Isnin, 12 Disember 2011

Seludup syabu RM14.4j tumpas


NOOR Rashid Ibrahim (tengah) menunjukkan sebahagian bungkusan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di Batu Maung, Pulau Pinang, baru-baru ini.


PULAU PINANG 12 Dis. - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini dengan penahanan lima lelaki warga asing dan merampas 72.1 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM14.4 juta di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bebas, Batu Maung, Jumaat lalu.

Kesemua mereka berusia 27 hingga 37 tahun yang terdiri daripada tiga lelaki Algeria dan dua lelaki Iran itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan mendapati kesemua dadah itu diseludup masuk menggunakan kontena di Pelabuhan Pulau Pinang.

Katanya, dadah-dadah itu disembunyikan di dalam 11 kampit bersama 229 kampit berisi tanah liat dari Pelabuhan Bandar Abbas, Iran, bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, serbuan pada awal pagi itu dilakukan berdasarkan intipan dan maklumat diterima pihak polis.
"Hasil pemeriksaan 240 kampit itu, 11 kampit daripadanya mengandungi syabu seberat 72.1 kilogram," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya lagi, rampasan tersebut adalah kedua terbesar di negara ini malah beliau percaya pihaknya berjaya mematahkan cubaan terbaru digunakan sindiket itu menggunakan pelabuhan.

"Selain syabu, pihak polis turut merampas harta milik sindiket terbabit bernilai RM125,000 yang diperoleh daripada hasil kegiatan dadah," ujarnya.
Ujarnya, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 15 Disember ini di Balai Polis Central, Jalan Pintal Tali untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.