
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
1.
Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia-Nya
maka dapat kita berhimpun bagi mengadakan sambutan Hari Antidadah
Peringkat Kebangsaan. Pada setiap tahun, tanggal 19 Februari, kita akan
mengadakan sambutan ini bertujuan menunjukkan bahawa kita masih komited
untuk meneruskan usaha memerangi gejala dadah daripada terus berleluasa.
Komitmen untuk membendung ancaman dadah ini perlu diteruskan bagi
memastikan bangsa dan negara kita bebas daripada ancaman musuh nombor
satu negara ini.
2. Justeru, sempena Hari Antidadah Kebangsaan
ini, saya ingin mengajak semua warga pendidik bersama-sama memerangi
penyalahgunaan dadah secara habis-habisan. Semoga usaha-usaha yang
dilaksanakan oleh warga pendidik ini akan dapat merealisasikan agenda
kerajaan iaitu Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012 dan Negara Bebas Dadah
Tahun 2015.
3. Bagi merealisasikan aspirasi murni ini, pihak
pentadbiran sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan
Pelajaran Negeri (JPN) perlu memastikan semua sekolah di negara ini
bebas dadah melalui pelaksanaan program-program bersifat pencegahan di
peringkat sekolah, daerah dan negeri.
Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,
4.
Pada tahun 2012, visi KPM adalah ke arah sekolah bebas dadah. Oleh itu,
KPM telah merancang dan melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan
Dadah (PPDa) di peringkat sekolah di seluruh negara. Tindakan pencegahan
dan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid dilaksanakan
melalui aktiviti-aktiviti kependidikan yang berfokus kepada pembinaan
jati diri murid. Melalui aktiviti yang berfokus, diharapkan akan terbina
disiplin kendiri yang kental dan utuh serta budi pekerti mulia dan
terpuji dalam diri setiap murid.
5. Faktor utama yang menentukan
kejayaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah sangat bergantung kepada
komitmen murid-murid sendiri. Komitmen murid menghayati segala nilai
murni sepanjang berada di bangku sekolah merupakan benteng yang ampuh
bagi memerangi najis dadah. Pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan
bukan sahaja bermatlamat membanteras penyalahgunaan dadah tetapi turut
membuka peluang kepada murid-murid untuk menonjolkan bakat dan potensi
diri masing-masing melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.
6.
KPM amat menyedari bahawa masalah penyalahgunaan dadah pada hari ini
semakin rumit dan telah melibatkan semua peringkat umur termasuklah
golongan remaja dan murid-murid sekolah. Keadaan ini menjadi lebih
serius disebabkan pengeluaran pelbagai jenis dadah termasuk dadah tiruan
yang semakin bertambah. Di samping itu, kes-kes penyeludupan dan
pengedaran dadah juga semakin berleluasa seperti yang didedahkan dalam
media massa. Keadaan ini menyebabkan murid sekolah sentiasa terdedah dan
berada dalam keadaan berisiko untuk turut terlibat. Ini bermakna semua
pihak perlu memainkan peranan secara bersungguh-sungguh dalam usaha
memerangi gejala ini daripada terus berleluasa dan bermaharajalela.
7.
Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak mempergiat usaha
secara berterusan dalam memberikan pendidikan pencegahan awalan kepada
murid. Saya percaya bahawa usaha-usaha tersebut mampu membimbing mereka
untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan dadah. Pencegahan
penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid sekolah mempunyai kaitan rapat
dengan usaha KPM untuk meningkatkan lagi taraf dan kualiti pendidikan.
Sesungguhnya, murid-murid hari ini adalah generasi pemimpin negara pada
masa depan yang perlu memiliki kualiti tinggi dalam aspek pemikiran
analitik, kritis, kreatif dan seterusnya mampu membuat keputusan dan
menyelesaikan pelbagai masalah.
Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,
8.
Walaupun KPM menetapkan visi ‘Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012’ tetapi
Perancangan Pendidikan Pencegahan Dadah Jangka Panjang terus
dilaksanakan. Ini bermakna, pendidikan pencegahan dadah perlu diteruskan
kerana saban hari dan setiap masa murid-murid kita akan sentiasa
terdedah kepada gejala ini. Dalam hal ini, semua warga pendidikan perlu
memainkan peranan masing-masing untuk memastikan tidak ada seorang pun
warga sekolah terlibat dengan dadah. Pengurus sekolah, perlu melihat
gejala penyalahgunaan dadah sebagai perkara yang serius dan perlu
sentiasa diberi perhatian. Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik
daripada mengubatinya. Kita tidak boleh membiarkan masalah dadah
mengganggu-gugat proses pembelajaran, keselamatan dan kesejahteraan
murid-murid ketika di sekolah.
9. Matlamat aktiviti Pendidikan
Pencegahan Dadah di sekolah bertujuan memberi pengetahuan, kesedaran dan
keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa
tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Aktiviti yang dilaksanakan di semua
sekolah bagi memastikan warga sekolah berusaha menjauhi ancaman dadah.
Saya sedar tugas dan tanggungjawab memerangi masalah dadah ini amat
berat dan mencabar. Oleh itu, penglibatan dan kerjasama daripada
pelbagai agensi harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini adalah
kerana pelaksanaan Pendidikan Pencegahan Dadah amat memerlukan kerjasama
yang bersepadu dengan pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah
Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia,
Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.
Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,
10.
Akhir kata, sekali lagi saya menyeru kepada semua warga pendidikan agar
sentiasa berusaha dan menyokong usaha kerajaan untuk menghapuskan
gejala negatif ini. Semoga dengan kerjasama daripada semua pihak dalam
memerangi penyalahgunaan dadah ini akan dapat memastikan generasi muda
kita bebas daripada pengaruh dadah. Sesungguhnya, usaha yang kita
laksanakan ini adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan keluarga,
masyarakat dan negara.
Sekian, terima kasih.