Bilik / Sudut PPDa Sekolah

Pengenalan konsep

Penubuhan Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah ( PPDa ) di sekolah adalah satu strategi baru Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha mencapai visi Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012. Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah adalah merupakan pusat sehenti yang menyediakan sebuah ruang lengkap bertujuan menyalurkan maklumat berkaitan pendidikan pencegahan dadah kepada pelajar,guru, ibu bapa serta  masyarakat sekitarnya. Maklumat dan bahan-bahan berkaitan dalam pelbagai medium boleh meningkatkan lagi pengetahuan mereka tentang bahaya penggunaan bahan terlarang terutama dadah. Selain itu, semua jenis maklumat yang boleh membantu melahirkan kumpulan sasaran yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam pendidikan pencegahan dadah juga boleh dimuatkan bagi menambah nilai kepada bahan sedia ada.

Strategi KPM menggalakkan penubuhan bilik sumber di sekolah-sekolah ialah bagi memenuhi keperluan maklumat pendidikan pencegahan dadah dalam kalangan masyarakat sekolah. Sebelum ini, sekolah terpaksa bergantung kepada maklumat dan bahan pameran yang disediakan oleh pelbagai agensi berkaitan. Namun isunya ialah ia agak terbatas kerana tidak mampu menjangkau semua populasi yang ada di sesebuah sekolah. Ini disebabkan maklumat yang dipamerkan tersebut  dibatasi limitasi masa, bahan maklumat yang dipamerkan  dan sumber tenaga yang terhad. Seringkali berlaku agensi terlibat tidak dapat menampung permintaan sekolah disebabkan kekangan  tersebut.  Sekolah yang mempunyai bilik atau sudut khas yang disusun dengan maklumat-maklumat pendidikan pencegahan dadah akan lebih memberi kesan dalam penyampaian mesej  kepada warga sekolah dan masyarakat sekitarnya. Warga sekolah terutamanya pelajar mudah mengakses maklumat yang disediakan sepanjang masa. Langkah ini diyakini mampu memberikan impak dan keuntungan jangka panjang kepada semua pihak.
                       
Semua sekolah disarankan supaya mewujudkan pusat akses ini memandangkan banyak manfaat yang boleh diperolehi daripadanya. Ia bukan sahaja menjadi ruang pelajar mendapatkan maklumat tetapi juga sebagai tempat mereka berinteraksi dan mengasah bakat dan kepimpinan dalam kalangan mereka.
Tanggungjawab pihak pengurusan sekolah bagi memastikan ianya direalisasikan adalah sangat penting. Pengetua atau Guru Besar mesti menggerakkan pasukannya bagi menjayakan misi ini, jika tidak ia tidak mampu untuk dilaksanakan dengan berkesan.

Matlamat dan objektif penubuhan

Bilik Sumber PPDa Sekolah diwujudkan untuk menyediakan satu pusat akses pendidikan pencegahan dadah yang lengkap  bagi kemudahan semua pihak khususnya pelajar dalam usaha menyalurkan maklumat dan membimbing secara sistematik ke arah mewujudkan persekitaran sekolah yang bebas daripada pengaruh dan ancaman dadah. Ia memenuhi hasrat kerajaan yang meletakkan visi melahirkan Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012 dan Negara Bebas Dadah Tahun 2015. Visi tersebut boleh dicapai sekiranya setiap warganegara diberikan pendidikan pencegahan berhubung dengan kesan dan pengaruh dadah. Sebagai mendokong cita-cita tersebut, pencegahan awalan melalui strategi pewujudan pusat akses ini boleh dihuraikan melalui beberapa objektif penubuhannya  iaitu :

·         Menyediakan satu pusat akses maklumat lengkap berkaitan Pendidikan Pencegahan  Dadah di sekolah-sekolah.
·         Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pendidikan pencegahan dadah di kalangan murid secara lebih sistematik dan berkesan.
·         Menjadi bilik gerakan kepada perancangan dan pelaksanaan program Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah.
·         Menjadi tempat interaksi murid-murid dalam usaha membangunkan  karekter murid cemerlang.

Fungsi dan peranan

Kewujudan Bilik Sumber PPDa Sekolah jika dilihat dalam konteks yang lebih luas mempunyai fungsi dan peranan seperti berikut :
1.    Ia merupakan pusat operasi pendidikan pencegahan dadah di sesebuah sekolah.
2.    Ia merupakan pusat sumber maklumat berkaitan kesan dan bahaya dadah, inhalan,  rokok, alkohol dan juga HIV/Aids.
3.    Ia merupakan ruang pameran antidadah dan karya pelajar yang kekal dan boleh diakses dengan mudah oleh semua warga sekolah tanpa limitasi masa.
4.    Ia merupakan pusat aktiviti yang menyokong keberkesanan unit-unit lain di sekolah seperti Unit Kaunseling, Unit Disiplin, Unit Bina Insan, Unit Kokurikulum, Asrama dan sebagainya.
5.    Ia merupakan ruang pelajar berinteraksi dan meningkatkan kemahiran pelbagai sesama mereka.
6.    Ia merupakan ruang alternatif bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran tertentu seperti pendidikan seni, kemahiran bahasa, kesihatan, pendidikan moral dan sebagainya.
7.    Ia merupakan ruang untuk aktiviti kokurikulum pelajar.
8.    Ia merupakan ruang pameran kekal untuk dilawati semasa Hari Kualiti, Hari Graduasi, Hari Terbuka dan sebagainya.

Kepelbagaian fungsi dan peranan Bilik Sumber PPDa Sekolah seperti yang dinyatakan di atas bukan bermakna ia tidak berfokus kepada matlamat asalnya sebagaimana yang digariskan. Namun ia adalah satu ruang yang bersifat anjal dan boleh disepadukan dengan pelbagai elemen yang sedia ada di sekolah. Dengan itu, secara tidak langsung ia akan membantu ke arah mewujudkan sekolah sebagai intitusi ilmu yang kondusif kepada warganya.


CONTOH-CONTOH BILIK/SUDUT SUMBER PPDa DAERAH JERANTUT

SK KAMPUNG BAHARU