Ahad, 13 November 2011

BERITA: SENDIKIT TUMPAS, DADAH 20 JUTA DIRAMPAS


Noor Rashid Ibrahim menunjukkan cecair ekstasi yang dirampas daripada sindiket dadah antarabangsa yang didalangi warga Belanda di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/AHMAD SYAHIR KASSIM


ALOR SETAR 13 Nov. - Hampir setiap hari ada sahaja rampasan dan tangkapan dadah dibuat pihak berkuasa. Malah, Malaysia kini boleh diumpamakan sebagai hab pengedaran dadah kerana sebahagian besar sindiket yang ditumpaskan itu banyak melibatkan warga asing.
Persoalannya, bagaimana dadah itu begitu mudah diseludup masuk ke Malaysia sedangkan kawalan ketat sudah dilakukan pihak berkuasa.

Kenapa semakin ramai rakyat asing memilih negara ini untuk dijadikan pusat pengedaran dan makmal memproses dadah, khususnya jenis sintetik.
Terbaru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa dan merampas sejumlah syabu dan ekstasi bernilai lebih RM20 juta dipercayai didalangi warga Belanda, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, kejayaan itu dilakarkan hasil dua serbuan pihaknya dengan kerjasama anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyerbu sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Mergong di sini dan sebuah rumah di Georgetown, Pulau Pinang kira-kira pukul 5 pagi.
"Dalam serbuan itu, polis menahan 11 orang termasuk enam warga asing manakala selebihnya rakyat tempatan yang berusia antara 24 hingga 60 tahun.

"Lima warga asing termasuk rakyat Belanda itu ditahan di sebuah kilang di Mergong yang dijadikan makmal memproses ekstasi," katanya pada sidang akhbar di IPK Kedah di sini, hari ini.
Menurutnya, empat lagi yang ditahan di makmal itu ialah dua warga Singapura manakala masing-masing seorang warga Perancis dan Britain.

"Seorang lagi warga Britain serta empat rakyat tempatan diberkas di sekitar Alor Setar manakala seorang lagi rakyat tempatan ditangkap di Pulau Pinang.
"Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan lalu dengan menghasilkan dadah jenis ekstasi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa," ujarnya.

Noor Rashid memberitahu, kejayaan ini adalah yang terbesar daripada segi nilai dan penglibatan individu selain dapat mengagalkan usaha sindiket tersebut mendirikan makmal ekstasi yang kedua di negara ini selepas yang pertama di Pulau Pinang pada 2009.

Mereka yang ditahan tidak memiliki rekod jenayah, namun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati mandatori, katanya.
Tambah beliau lagi, dalam serbuan di Mergong, pihaknya merampas 240 liter cecair ekstasi, bahan 'precursor safrole', 'acetone' dan pelbagai cecair kimia serta peralatan memproses dadah.

"Dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan mini makmal di Pulau Pinang, polis merampas 34 kilogram syabu serta menahan seorang lelaki.
"Empat buah kereta turut disita iaitu dua buah Mercedes-Benz dan sebuah Toyota Vios serta pikap Tata selain pelbagai mata wang asing termasuk Euro, Yuan, Baht, Dollar Amerika Syarikat dan Singapura serta mata wang tempatan bernilai lebih RM39,000," katanya.

UTUSAN- 14/11/2011

Tiada ulasan:

Catat Komen