Isnin, 26 September 2011

3 KG SABU DIRAMPAS

SHAH ALAM 26 Sept. – Polis berjaya menggagalkan satu lagi cubaan menyeludup masuk dadah syabu ke negara ini dengan menggunakan pelembap bibir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang di sini, pada 17 September lalu.
Cubaan kali ini melibatkan tiga kilogram dadah syabu bernilai RM750,000 yang dibawa oleh seorang pelajar kolej warga Nigeria berusia 27 tahun yang datang dengan penerbangan dari Doha, Qatar.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, semasa diperiksa, pelajar wanita berkenaan didapati membawa 25 kotak hadiah kecil di dalam beg tangannya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kotak hadiah tersebut mengandungi 600 batang pelembap bibir yang setiap penutupnya diisi dengan serbuk syabu.
“Pelajar terbabit yang dipercayai dijadikan keldai dadah oleh sindiket antarabangsa ditahan reman sehingga 29 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.
Pada 15 September lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA turut menggagalkan cubaan sama menyeludup 1.5 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM375,000 yang disembunyikan dalam penutup pelembap bibir.
Thaiveegan berkata, dalam satu lagi tangkapan di KLIA pada Jumaat lalu, polis turut menahan seorang pelajar kolej swasta yang juga warga Nigeria kerana membawa dua kilogram dadah syabu bernilai RM500,000 di dalam beg pakaiannya.
Menurut Thaiveegan, pelajar wanita berusia 23 tahun itu ditahan sewaktu tiba di KLIA dengan penerbangan dari Doha, Qatar.
“Pelajar yang mengaku menuntut di salah sebuah kolej swasta di negara ini ditahan reman sehingga 1 Oktober ini bagi membantu siasatan.
“Pihak polis giat menjalankan operasi membanteras penyeludupan dadah ke negara ini dengan melakukan pemantauan rapi di KLIA,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA   27/9/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan