Isnin, 26 September 2011

3 KG SABU DIRAMPAS

SHAH ALAM 26 Sept. – Polis berjaya menggagalkan satu lagi cubaan menyeludup masuk dadah syabu ke negara ini dengan menggunakan pelembap bibir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang di sini, pada 17 September lalu.
Cubaan kali ini melibatkan tiga kilogram dadah syabu bernilai RM750,000 yang dibawa oleh seorang pelajar kolej warga Nigeria berusia 27 tahun yang datang dengan penerbangan dari Doha, Qatar.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, semasa diperiksa, pelajar wanita berkenaan didapati membawa 25 kotak hadiah kecil di dalam beg tangannya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kotak hadiah tersebut mengandungi 600 batang pelembap bibir yang setiap penutupnya diisi dengan serbuk syabu.
“Pelajar terbabit yang dipercayai dijadikan keldai dadah oleh sindiket antarabangsa ditahan reman sehingga 29 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.
Pada 15 September lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA turut menggagalkan cubaan sama menyeludup 1.5 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM375,000 yang disembunyikan dalam penutup pelembap bibir.
Thaiveegan berkata, dalam satu lagi tangkapan di KLIA pada Jumaat lalu, polis turut menahan seorang pelajar kolej swasta yang juga warga Nigeria kerana membawa dua kilogram dadah syabu bernilai RM500,000 di dalam beg pakaiannya.
Menurut Thaiveegan, pelajar wanita berusia 23 tahun itu ditahan sewaktu tiba di KLIA dengan penerbangan dari Doha, Qatar.
“Pelajar yang mengaku menuntut di salah sebuah kolej swasta di negara ini ditahan reman sehingga 1 Oktober ini bagi membantu siasatan.
“Pihak polis giat menjalankan operasi membanteras penyeludupan dadah ke negara ini dengan melakukan pemantauan rapi di KLIA,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA   27/9/2011

Ahad, 25 September 2011

Isu dadah: Kursus untuk seludup heroin

BIMBANG...ahli keluarga bersama Chong menunjukkan gambar Letchumi.
BIMBANG...ahli keluarga bersama Chong menunjukkan gambar Letchumi.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang juga pembungkus makanan di sebuah kilang di sini, ditahan pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou, China selepas disyaki cuba menyeludup dadah jenis heroin seberat 549 gram bernilai kira-kira RM40,000.
Difahamkan, wanita itu, C Letchumi, 32, yang dipercayai menjadi mangsa sindiket keldai dadah berlepas ke republik itu pada 10 September lalu bersama empat rakan sekerjanya termasuk majikan warga Nigeria, bagaimanapun ditahan pihak berkuasa China atas dakwaan membawa dadah terbabit yang disorokkan dalam beg baju.
Menurut suami mangsa, C S Sangar, isterinya baru tiga bulan bekerja dengan sebuah kilang pembungkusan makanan di Taman Bolton, Gombak, dekat sini, sebelum mendapat tawaran daripada majikannya untuk pergi ke China bagi mengikuti kursus pengurusan.

“Pada mulanya saya curiga dengan tawaran itu memandangkan isteri baru beberapa bulan bekerja, namun tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk kerana dia seronok bekerja di situ selain baik dengan seorang anak majikan.

“Pada hari kejadian, saya menghantarnya ke lapangan terbang dan sebelum berlepas, Letchumi memeluk saya dan memohon untuk pergi ke sana selama seminggu dan saya pelik dengan tindakannya itu।
sumber: metro 25/9/2011