Selasa, 10 Jun 2014

Tahniah SK Langgar Pekan



Tahniah Sk Langgar, Pekan kerana sekali lagi dinobatkan sebagai Johan Kategori Bilik Sumber PPDa Sekolah Rendah Peringkat Negeri Pahang 2014.

Selasa, 25 Mac 2014

DADAH TETAP MUSUH NO SATU NEGARA


MASALAH dadah masih lagi merupakan musuh utama negara, terutama kepada remaja yang menjadi aset modal insan. Dadah juga adalah musuh utama juga kepada setiap ahli masyarakat  yang inginkan keharmonian dan kesejahteraan hidup di dunia ini.Slogan “Hidup Tanpa Dadah” patut ditekankan dan diperluaskan.Kes enam remaja maut terlebih ambil dadah methamphetamine dalam konsert terbuka di Bukit Jalil, Sabtu lepas seharusnya menjadi pengajaran kepada ibu bapa dan juga remaja bahawa dadah masih membelenggu hidup kalangan remaja dan yang terlibat ada juga kalangan remaja perempuan belasan tahun.Statistik 2013 menunjukkan penagih dadah golongan belia yang dikesan dari Januari hingga Julai mencatat penurunan 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. Tetapi bagi tahun 2014 berita ini tentulah mengejutkan semua.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim dipetik berkata, jumlah penagih belia pada tahun tersebut ialah 2,242 iaitu 70.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih iaitu 3,185. “Jumlah penagih tahun lepas ialah 3,767. Golongan belia didefinisikan berumur antara 16 hingga 39 tahun.”Beliau berkata, antara faktor penurunan itu ialah keberkesanan program yang dijalankan kementerian dalam memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai bahaya dadah kepada golongan belia dan masyarakat.Mengenai dadah, Pasukan Petugas Khas Antidadah, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1993 telah memberi penjelasan seperti berikut: Dadah ialah bahan pisikoaktif yang mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf seperti menyebabkan keadaan mabuk, khayal, ketagih, gangguan tingkah laku  dan sebagainya.Pada masa kini, pelbagai jenis dadah yang boleh membunuh antaranya candu (candu mentah), morfin (dadah alkolid yang diperoleh dari candu merah), heroin, ganja (marijuana), ecstacy, syabu (ice), amfetamin, ketamine juga methamphetamine.Semuanya jika disalahgunakan boleh membawa kesan tidak baik kepada tubuh badan dan akal fikiran.Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis, jelaslah bahawa dadah hukumnya haram. Pengharaman ke atas dadah jelas meliputi semua kegiatan yang berkaitan dengannya seperti diriwayatkan oleh Tarmizi dan Ibn Majah, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda dan melaknat tentang khamar (dadah).“Rasulullah SAW melaknat tentang khamar, sepuluh golongan. Pertama pembuatnya, kedua pengedarnya, ketiga peminumnya, keempat pembawanya, kelima pengirimnya, keenam penuangnya, ketujuh penjualnya, kelapan pemakan wang hasilnya, kesembilan pembelinya dan kesepuluh pemesannya”. Larangan pengharaman dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang diqias kepada arak.Dalam al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman arak dan dalil pengharaman ini berdasarkan kepada keterangan nas-nas (al-Quran dan hadis) kerana ia masuk dalam pengertian umum benda-benda memabukkan, yang menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama iaitu ‘memabukkan’ atau kerana terdapat keburukan-keburukan terhadap individu dan masyarakat.Penyalahgunaan dadah boleh menghancurkan rumah tangga, keluarga menjadi porak-peranda, penagih boleh menimbulkan pelbagai kesulitan seperti mencuri, meragut, merompak, membunuh dan merogol kerana kesan akibat penagihan dadah.Adalah menjadi tugas semua ahli masyarakat memberi kerjasama kepada pihak berkuasa membanteras penyeludupan dadah ke negara ini.Dalam kalangan remaja banyak faktor bagaimana penagihan dadah itu bermula antaranya ialah pengaruh rakan sebaya, perasaan ingin tahu dan ingin mencuba, mencari ketenteraman jiwa yang salah, mencari keseronokan sementara, tidak mengetahui akan bahaya dadah dan kebosanan.Hal ini boleh dielakkan dengan tidak terlibat dengan pergaulan bebas, yakin pada diri, percaya dengan kebolehan sendiri dan memilih rakan yang baik akhlaknya.Selain itu, fikirkan risiko yang akan ditanggung akibat dadah, dalami ilmu keagamaan, bersukan dan beriadah, mengamalkan cara hidup sihat, fikirkan dahulu sesuatu perbuatan itu positif atau negatif pada diri anda, luaskan pengetahuan mengenai gejala dan bahaya penagihan dadah serta isi masa lapang dengan perkara yang baik dan positif.

Selasa, 25 Februari 2014

PELANCARAN SAMBUTAN MINGGU ANTIDADAH PERINGKAT DAERAH JERANTUT 2014

19 Febuari 2014, Sk Pulau Mansok: Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut telah mengadakan Pelancaran Sambutan Minggu Antidadah Peringkat Daerah Jerantut 2014. Unit PPDa PPD Jerantut mengucapkan syabas dan tahniah kepada tuan rumah SK Pulau Mansok kerana telah berjaya menguruskan sambutan Pelancaran Sambutan Minggu Antidadah Peringkat Daerah Jerantut 2014. Syabas Dan Tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat dalam menjaya majlis sambutan yang cukup meriah ini.

             En. Firdaus Bin Shuaib Timbalan PPD Jerantut telah merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Antidadah Peringkat Daerah Jerantut pada kali ini.
Turut Hadir, Guru Besar SK Pedah En Wan Hamidon, En Muhammad Faiz Mahayudin Pegawai Khas Pendidikan Pencegahan Dadah PPD Jerantut, YDP PIBG Sk Pulau Mansok  En Basri
Persembahan pelajar
Bacaan Ikrar Pelajar Bebas Dadah
 
ucapan perasmian Tuan Timbalan PPD Jerantut

Gimik pelancaran
En Rashid Guru Besar Sk Pulau Mansok bersam Tuan Timbalan PPD Jerantut Sedang melepaskan burung merpati sebagai gimik pelancaran.

Selasa, 11 Februari 2014

PERUTUSAN PENGARAH PENDIDIKAN PAHANG SEMPENA HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN TAHUN 2014



PERUTUSAN

SEMPENA

HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN

19 FEBRUARI 2014

________________________________________________

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1.                Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia-Nya maka dapat kita berhimpun bagi mengadakan sambutan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan tahun 2014. Pada setiap tahun, tanggal      19 Februari, kita mengadakan sambutan ini untuk menunjukkan bahawa kita sentiasa komited untuk meneruskan usaha memerangi gejala dadah daripada terus berleluasa sama ada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah. Komitmen untuk membendung ancaman dadah ini perlu diteruskan bagi memastikan bangsa dan negara kita bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara ini.

2.                Sempena Hari Antidadah Kebangsaan ini, saya dengan penuh harapan ingin mengajak semua warga pendidik bersama-sama menjayakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah masing-masing. Program Pendidikan Pencegahan Dadah yang meliputi pendidikan pencegahan dan intervensi bagi membebaskan warga sekolah bebas daripada bahaya dadah, rokok, inhalan, alkohol dan HIV/AIDS. Semoga segala usaha yang dilaksanakan oleh warga pendidik ini akan dapat merealisasikan agenda kerajaan iaitu  Negara Bebas Dadah  2015.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

3.                Sesungguhnya tindakan pencegahan dan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti yang berfokus kepada pembinaan jati diri dan sahsiah murid. Melalui aktiviti yang berfokus, diharapkan akan terbinalah disiplin kendiri yang kental dan budi pekerti mulia serta terpuji dalam diri setiap murid. Semua murid perlu diberikan pengetahuan mengenai bahaya dadah secara terancang dari masa ke semasa. Ilmu pengetahuan mengenai bahaya dadah ini haruslah kekal di dalam diri murid-murid bukan sahaja ketika di alam persekolahan tetapi juga setelah tamat persekolahan.

4.                Faktor utama yang menentukan kejayaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah adalah bergantung kepada kerjasama dan komitmen semua pihak, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sendiri termasuklah komuniti yang terlibat dengan sekolah. Pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan pencegahan dadah bukan sahaja bermatlamat membanteras penyalahgunaan dadah tetapi turut membuka peluang kepada murid-murid untuk menonjolkan bakat dan potensi diri masing-masing melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.

5.             Ancaman dadah kepada murid-murid merupakan satu cabaran yang perlu ditangani secara bersungguh-sungguh demi melonjakkan sistem pendidikan negara ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, menerusi anjakan ke – 3 iaitu bagi melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai dan anjakan ke – 10 yang memberi tumpuan kepada kemenjadian dan keberhasilan murid bagi memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya.

6.                Perkara yang amat membimbangkan  Kementerian Pendidikan Malaysia ialah apabila murid-murid tidak mendapat maklumat yang tepat dan betul. Mereka akan mendapat maklumat yang salah daripada rakan sebaya mereka  atau melalui pengaruh luar. Kajian yang dijalan oleh Unit PPDa, KPM pada tahun 2013 di sekolah-sekolah seluruh negara mendapati masalah penagihan rokok adalah masalah utama di sekolah-sekolah pada hari ini. Berdasarkan soal selidik yang diedarkan,  kepada seramai
34290 orang responden, 61peratus responden  mengaku  pernah merokok dan seramai 37 peratus daripada jumlah yang pernah merokok tersebut masih terlibat dengan penagihan rokok atau diklasifikasikan sebagai perokok tegar. Rokok yang dikenali sebagai ‘dadah pembuka jalan’ akan mencetuskan laluan ke arah penagihan dadah.  

7.                Masalah penyalahgunaan dadah pada masa kini semakin rumit dan telah melibatkan semua peringkat umur. Golongan remaja adalah sasaran utama para pengedar dadah yang sentiasa berusaha untuk meraih keuntungan yang mudah dan berlipat ganda.  Murid-murid sekolah tidak terkecuali dalam agenda para pengedar dadah ini. Keadaan ini menjadi lebih serius disebabkan pengeluaran pelbagai jenis dadah termasuk dadah tiruan yang semakin bertambah. Di samping itu, kes-kes penyeludupan dan pengedaran dadah juga semakin berleluasa seperti yang didedahkan dalam media massa. Keadaan ini menyebabkan murid sekolah sentiasa terdedah dan berada dalam keadaan berisiko untuk turut terlibat. Berdasarkan kepada data ujian urin  pada tahun 2013, seramai 44,033 orang murid sekolah menengah telah diuji. Keputusan daripada ujian urin tersebut, seramai 1,056 orang didapati positif ujian urin. Angka tersebut menunjukkan 2.40 peratus daripada murid yang diuji telah terlibat mencuba dadah. Lebih membimbangkan 88 peratus daripada murid yang positif tersebut, terlibat mencuba dadah jenis sintetik. Ini bermakna semua pihak perlu memainkan peranan secara bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi gejala ini daripada terus berleluasa dan bermaharajalela.

8.                Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak mempergiat usaha secara berterusan dalam memberikan pendidikan pencegahan awalan kepada murid-murid. Saya percaya bahawa usaha-usaha tersebut mampu membimbing mereka untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah. Pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid sekolah mempunyai kaitan rapat dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan lagi taraf dan kualiti pendidikan. Sesungguhnya, murid-murid hari ini adalah generasi pemimpin negara pada masa depan yang perlu memiliki kualiti tinggi dalam aspek pemikiran analitik, kritis, kreatif dan seterusnya mampu membuat keputusan dan menyelesaikan pelbagai masalah.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

9.                Semua warga pendidik perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan tidak ada seorang pun warga sekolah terlibat dengan dadah. Pentadbir sekolah, perlu  melihat gejala penyalahgunaan dadah sebagai perkara yang serius dan perlu sentiasa diberi perhatian. Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada mengubatinya.

10.           Kita tidak boleh membiarkan masalah dadah menggugat proses pembelajaran, keselamatan dan kesejahteraan murid-murid ketika di sekolah. Justeru, pihak sekolah perlu mengenal pasti tanda-tanda awal yang boleh menjadi penyebab murid-murid terpengaruh dengan dadah. Gejala ponteng, merokok, mengambil alkohol adalah tanda-tanda awal yang perlu dibenteras agar murid-murid yang terlibat dapat dikawal dan tidak beralih kepada mencuba dadah dan juga inhalan.

11.           Matlamat aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah bertujuan memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Aktiviti yang dilaksanakan di semua sekolah bagi memastikan warga sekolah berusaha menjauhi ancaman dadah. Saya sedar tugas dan tanggungjawab memerangi masalah dadah ini amat berat dan mencabar. Oleh itu, penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai agensi harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini adalah kerana pelaksanaan Pendidikan Pencegahan Dadah amat memerlukan kerjasama yang bersepadu dengan pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Saya yakin dengan kerjasama daripada semua pihak agenda membebaskan sekolah daripada ancaman dadah akan terus terlaksana dan sudah pasti murid-murid yang kita bentuk di sekolah pada hari ini akan mampu mengguna pakai ilmu yang diperolehi ini buat selama-lamanya walaupun setelah tamat alam  persekolahan nanti.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

12.           Akhir kata, sekali lagi saya menyeru kepada semua warga pendidik dan murid-murid agar sentiasa berusaha untuk mengekang pengaruh dadah di sekolah dengan mengambil pendekatan pendidikan pencegahan dan pendidikan intervensi secara serius serta terancang.  Semoga dengan kerjasama daripada semua pihak dalam memerangi penyalahgunaan dadah ini akan dapat memastikan generasi muda kita bebas daripada pengaruh dadah. Sesungguhnya, usaha yang kita laksanakan ini adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara sejajar dengan matlamat Negara Bebas Dadah 2015.

Sekian, terima kasih.

                                                               


                                                                           

Khamis, 2 Januari 2014

Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan 2014 Peringkat Negeri Pahang


Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan bagi Daerah Jerantut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jerantut. Terima kasih kepada Yayasan Taqwa yang menghulurkan bantuan. Program ini berjalan dengan lancar hasil kerjasama Ahli Parlimen, yayasan Tawqa, PPD Jerantut dan GPMS Negeri Pahang serta GPMS Daerah Jerantut.
Ceramah motivasi oleh Yang Diprtua GPMS Daerah Jerantut








Pegawai PPDa(S/u GPMS Jerantut) bersama Pengerusi GPMS Pahang