Selasa, 25 Mac 2014

DADAH TETAP MUSUH NO SATU NEGARA


MASALAH dadah masih lagi merupakan musuh utama negara, terutama kepada remaja yang menjadi aset modal insan. Dadah juga adalah musuh utama juga kepada setiap ahli masyarakat  yang inginkan keharmonian dan kesejahteraan hidup di dunia ini.Slogan “Hidup Tanpa Dadah” patut ditekankan dan diperluaskan.Kes enam remaja maut terlebih ambil dadah methamphetamine dalam konsert terbuka di Bukit Jalil, Sabtu lepas seharusnya menjadi pengajaran kepada ibu bapa dan juga remaja bahawa dadah masih membelenggu hidup kalangan remaja dan yang terlibat ada juga kalangan remaja perempuan belasan tahun.Statistik 2013 menunjukkan penagih dadah golongan belia yang dikesan dari Januari hingga Julai mencatat penurunan 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. Tetapi bagi tahun 2014 berita ini tentulah mengejutkan semua.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim dipetik berkata, jumlah penagih belia pada tahun tersebut ialah 2,242 iaitu 70.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih iaitu 3,185. “Jumlah penagih tahun lepas ialah 3,767. Golongan belia didefinisikan berumur antara 16 hingga 39 tahun.”Beliau berkata, antara faktor penurunan itu ialah keberkesanan program yang dijalankan kementerian dalam memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai bahaya dadah kepada golongan belia dan masyarakat.Mengenai dadah, Pasukan Petugas Khas Antidadah, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1993 telah memberi penjelasan seperti berikut: Dadah ialah bahan pisikoaktif yang mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf seperti menyebabkan keadaan mabuk, khayal, ketagih, gangguan tingkah laku  dan sebagainya.Pada masa kini, pelbagai jenis dadah yang boleh membunuh antaranya candu (candu mentah), morfin (dadah alkolid yang diperoleh dari candu merah), heroin, ganja (marijuana), ecstacy, syabu (ice), amfetamin, ketamine juga methamphetamine.Semuanya jika disalahgunakan boleh membawa kesan tidak baik kepada tubuh badan dan akal fikiran.Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis, jelaslah bahawa dadah hukumnya haram. Pengharaman ke atas dadah jelas meliputi semua kegiatan yang berkaitan dengannya seperti diriwayatkan oleh Tarmizi dan Ibn Majah, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda dan melaknat tentang khamar (dadah).“Rasulullah SAW melaknat tentang khamar, sepuluh golongan. Pertama pembuatnya, kedua pengedarnya, ketiga peminumnya, keempat pembawanya, kelima pengirimnya, keenam penuangnya, ketujuh penjualnya, kelapan pemakan wang hasilnya, kesembilan pembelinya dan kesepuluh pemesannya”. Larangan pengharaman dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang diqias kepada arak.Dalam al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman arak dan dalil pengharaman ini berdasarkan kepada keterangan nas-nas (al-Quran dan hadis) kerana ia masuk dalam pengertian umum benda-benda memabukkan, yang menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama iaitu ‘memabukkan’ atau kerana terdapat keburukan-keburukan terhadap individu dan masyarakat.Penyalahgunaan dadah boleh menghancurkan rumah tangga, keluarga menjadi porak-peranda, penagih boleh menimbulkan pelbagai kesulitan seperti mencuri, meragut, merompak, membunuh dan merogol kerana kesan akibat penagihan dadah.Adalah menjadi tugas semua ahli masyarakat memberi kerjasama kepada pihak berkuasa membanteras penyeludupan dadah ke negara ini.Dalam kalangan remaja banyak faktor bagaimana penagihan dadah itu bermula antaranya ialah pengaruh rakan sebaya, perasaan ingin tahu dan ingin mencuba, mencari ketenteraman jiwa yang salah, mencari keseronokan sementara, tidak mengetahui akan bahaya dadah dan kebosanan.Hal ini boleh dielakkan dengan tidak terlibat dengan pergaulan bebas, yakin pada diri, percaya dengan kebolehan sendiri dan memilih rakan yang baik akhlaknya.Selain itu, fikirkan risiko yang akan ditanggung akibat dadah, dalami ilmu keagamaan, bersukan dan beriadah, mengamalkan cara hidup sihat, fikirkan dahulu sesuatu perbuatan itu positif atau negatif pada diri anda, luaskan pengetahuan mengenai gejala dan bahaya penagihan dadah serta isi masa lapang dengan perkara yang baik dan positif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan