Selasa, 11 Februari 2014

PERUTUSAN PENGARAH PENDIDIKAN PAHANG SEMPENA HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN TAHUN 2014



PERUTUSAN

SEMPENA

HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN

19 FEBRUARI 2014

________________________________________________

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1.                Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia-Nya maka dapat kita berhimpun bagi mengadakan sambutan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan tahun 2014. Pada setiap tahun, tanggal      19 Februari, kita mengadakan sambutan ini untuk menunjukkan bahawa kita sentiasa komited untuk meneruskan usaha memerangi gejala dadah daripada terus berleluasa sama ada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah. Komitmen untuk membendung ancaman dadah ini perlu diteruskan bagi memastikan bangsa dan negara kita bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara ini.

2.                Sempena Hari Antidadah Kebangsaan ini, saya dengan penuh harapan ingin mengajak semua warga pendidik bersama-sama menjayakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah masing-masing. Program Pendidikan Pencegahan Dadah yang meliputi pendidikan pencegahan dan intervensi bagi membebaskan warga sekolah bebas daripada bahaya dadah, rokok, inhalan, alkohol dan HIV/AIDS. Semoga segala usaha yang dilaksanakan oleh warga pendidik ini akan dapat merealisasikan agenda kerajaan iaitu  Negara Bebas Dadah  2015.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

3.                Sesungguhnya tindakan pencegahan dan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti yang berfokus kepada pembinaan jati diri dan sahsiah murid. Melalui aktiviti yang berfokus, diharapkan akan terbinalah disiplin kendiri yang kental dan budi pekerti mulia serta terpuji dalam diri setiap murid. Semua murid perlu diberikan pengetahuan mengenai bahaya dadah secara terancang dari masa ke semasa. Ilmu pengetahuan mengenai bahaya dadah ini haruslah kekal di dalam diri murid-murid bukan sahaja ketika di alam persekolahan tetapi juga setelah tamat persekolahan.

4.                Faktor utama yang menentukan kejayaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah adalah bergantung kepada kerjasama dan komitmen semua pihak, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sendiri termasuklah komuniti yang terlibat dengan sekolah. Pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan pencegahan dadah bukan sahaja bermatlamat membanteras penyalahgunaan dadah tetapi turut membuka peluang kepada murid-murid untuk menonjolkan bakat dan potensi diri masing-masing melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.

5.             Ancaman dadah kepada murid-murid merupakan satu cabaran yang perlu ditangani secara bersungguh-sungguh demi melonjakkan sistem pendidikan negara ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, menerusi anjakan ke – 3 iaitu bagi melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai dan anjakan ke – 10 yang memberi tumpuan kepada kemenjadian dan keberhasilan murid bagi memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya.

6.                Perkara yang amat membimbangkan  Kementerian Pendidikan Malaysia ialah apabila murid-murid tidak mendapat maklumat yang tepat dan betul. Mereka akan mendapat maklumat yang salah daripada rakan sebaya mereka  atau melalui pengaruh luar. Kajian yang dijalan oleh Unit PPDa, KPM pada tahun 2013 di sekolah-sekolah seluruh negara mendapati masalah penagihan rokok adalah masalah utama di sekolah-sekolah pada hari ini. Berdasarkan soal selidik yang diedarkan,  kepada seramai
34290 orang responden, 61peratus responden  mengaku  pernah merokok dan seramai 37 peratus daripada jumlah yang pernah merokok tersebut masih terlibat dengan penagihan rokok atau diklasifikasikan sebagai perokok tegar. Rokok yang dikenali sebagai ‘dadah pembuka jalan’ akan mencetuskan laluan ke arah penagihan dadah.  

7.                Masalah penyalahgunaan dadah pada masa kini semakin rumit dan telah melibatkan semua peringkat umur. Golongan remaja adalah sasaran utama para pengedar dadah yang sentiasa berusaha untuk meraih keuntungan yang mudah dan berlipat ganda.  Murid-murid sekolah tidak terkecuali dalam agenda para pengedar dadah ini. Keadaan ini menjadi lebih serius disebabkan pengeluaran pelbagai jenis dadah termasuk dadah tiruan yang semakin bertambah. Di samping itu, kes-kes penyeludupan dan pengedaran dadah juga semakin berleluasa seperti yang didedahkan dalam media massa. Keadaan ini menyebabkan murid sekolah sentiasa terdedah dan berada dalam keadaan berisiko untuk turut terlibat. Berdasarkan kepada data ujian urin  pada tahun 2013, seramai 44,033 orang murid sekolah menengah telah diuji. Keputusan daripada ujian urin tersebut, seramai 1,056 orang didapati positif ujian urin. Angka tersebut menunjukkan 2.40 peratus daripada murid yang diuji telah terlibat mencuba dadah. Lebih membimbangkan 88 peratus daripada murid yang positif tersebut, terlibat mencuba dadah jenis sintetik. Ini bermakna semua pihak perlu memainkan peranan secara bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi gejala ini daripada terus berleluasa dan bermaharajalela.

8.                Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak mempergiat usaha secara berterusan dalam memberikan pendidikan pencegahan awalan kepada murid-murid. Saya percaya bahawa usaha-usaha tersebut mampu membimbing mereka untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah. Pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid sekolah mempunyai kaitan rapat dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan lagi taraf dan kualiti pendidikan. Sesungguhnya, murid-murid hari ini adalah generasi pemimpin negara pada masa depan yang perlu memiliki kualiti tinggi dalam aspek pemikiran analitik, kritis, kreatif dan seterusnya mampu membuat keputusan dan menyelesaikan pelbagai masalah.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

9.                Semua warga pendidik perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan tidak ada seorang pun warga sekolah terlibat dengan dadah. Pentadbir sekolah, perlu  melihat gejala penyalahgunaan dadah sebagai perkara yang serius dan perlu sentiasa diberi perhatian. Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada mengubatinya.

10.           Kita tidak boleh membiarkan masalah dadah menggugat proses pembelajaran, keselamatan dan kesejahteraan murid-murid ketika di sekolah. Justeru, pihak sekolah perlu mengenal pasti tanda-tanda awal yang boleh menjadi penyebab murid-murid terpengaruh dengan dadah. Gejala ponteng, merokok, mengambil alkohol adalah tanda-tanda awal yang perlu dibenteras agar murid-murid yang terlibat dapat dikawal dan tidak beralih kepada mencuba dadah dan juga inhalan.

11.           Matlamat aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah bertujuan memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Aktiviti yang dilaksanakan di semua sekolah bagi memastikan warga sekolah berusaha menjauhi ancaman dadah. Saya sedar tugas dan tanggungjawab memerangi masalah dadah ini amat berat dan mencabar. Oleh itu, penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai agensi harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini adalah kerana pelaksanaan Pendidikan Pencegahan Dadah amat memerlukan kerjasama yang bersepadu dengan pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Saya yakin dengan kerjasama daripada semua pihak agenda membebaskan sekolah daripada ancaman dadah akan terus terlaksana dan sudah pasti murid-murid yang kita bentuk di sekolah pada hari ini akan mampu mengguna pakai ilmu yang diperolehi ini buat selama-lamanya walaupun setelah tamat alam  persekolahan nanti.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

12.           Akhir kata, sekali lagi saya menyeru kepada semua warga pendidik dan murid-murid agar sentiasa berusaha untuk mengekang pengaruh dadah di sekolah dengan mengambil pendekatan pendidikan pencegahan dan pendidikan intervensi secara serius serta terancang.  Semoga dengan kerjasama daripada semua pihak dalam memerangi penyalahgunaan dadah ini akan dapat memastikan generasi muda kita bebas daripada pengaruh dadah. Sesungguhnya, usaha yang kita laksanakan ini adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara sejajar dengan matlamat Negara Bebas Dadah 2015.

Sekian, terima kasih.

                                                               


                                                                           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan