Ahad, 20 Februari 2011

Bencana Sosial Mengancam Nilai Islam

oleh MASHITAH IBRAHIM
19/2/2011 11:01:37 AM

Menurut satu kajian terbaru, 60 peratus remaja Malaysia hilang dara menjelang umur 18 tahun, manakala 42 peratus daripada mereka mengaku mengadakan hubungan seks dengan ramai pasangan. Sejumlah 43 peratus berkata mereka gembira selepas melakukan seks, malah 30 peratus remaja mengaku menjalin hubungan jantina sekadar bersuka-suka.

Kajian membabitkan 2,800 responden berusia 15 hingga 25 tahun yang dijalankan sebuah universiti tempatan dengan portal YouthSays.com juga menunjukkan di kalangan mereka yang mengadakan hubungan seks, 74 peratus tidak mengamalkan sebarang perlindungan.

Maklumat kajian ini sangat merisaukan. Walaupun soal selidik dijalankan secara rambang membabitkan responden remaja pelbagai kaum dan agama, dan kita juga terima hakikat bahawa soal selidik yang dijalankan secara online mempunyai beberapa kelemahan dari segi ketepatan maklumat, ia masih membimbangkan.

Ini mendorong kita berfikir sama ada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan, NGO dan sukarelawan serta kempen saban hari melalui media sebenarnya tidak berhasil? Pelbagai dasar, strategi dan program yang dilaksanakan rupanya tidak ke mana.

Adakah tenaga, masa, wang ringgit dan pelbagai kajian yang dijalankan oleh penyelidik masih sia-sia?

Saya tidak percaya kita menemui jalan buntu. Namun statistik diperoleh daripada kajian ini bukan sahaja menyedihkan, malah menggerunkan. Kira-kira 30 peratus remaja berkata, mereka memikirkan seks setiap hari dan 50 peratus tidak pasti mereka ada pengetahuan yang cukup mengenai seks sebelum mengadakan hubungan jantina.

Sebagai Penaung Rumah Perlindungan Baitul Fiqh di Subang Jaya, saya cukup mengambil berat mengenai bencana sosial yang melanda remaja di negara kita dan mengancam keharmonian kehidupan bermasyarakat. Moral dan nilai agama terancam.

Keadaan ini menuntut perhatian yang serius dan usaha yang berterusan dari pelbagai pihak, termasuk kerajaan, agensi dan jabatan, NGO dan badan sukarela, polis, sekolah dan universiti, pengurusan surau dan masjid, pihak media dan ibu bapa.

Bayangkan, rumah perlindungan Baitul Fiqh yang kecil ini (cuma boleh mengambil 15 penghuni pada satu-satu masa) sudah mengendalikan 600 kes remaja hamil dalam tempoh enam tahun.

Di Lembah Kelang sahaja, terdapat puluhan rumah perlindungan dan pusat bimbingan yang menampung remaja hamil pelbagai kaum dan agama. Di Baitul Fiqh, kita mengisi waktu penghuni dengan kelas-kelas mengaji al-Quran dan tajwid, fekah dan tauhid selain sesi motivasi dan pembelajaran kemahiran, seperti memasak, membuat roti dan kek.

Alhamdulillah, dengan kurniaan Allah SWT dan kerjasama pengurusan serta sukarelawan, majoriti kes yang kita urus di Baitul Fiqh berakhir dengan penghuni mampu khatam Quran, menyambung pelajaran di sekolah atau universiti, menyambung kerjaya atau menjadi isteri dan ibu yang baik selepas berkahwin. Tidak ada kes yang berulang.

Tapi tanggungjawab kita tidak berhenti di sini. Kita juga tidak boleh berlapang dada dengan pencapaian setakat ini. Justeru, saya amat menghargai lawatan yang dilakukan oleh pelbagai pihak ke Baitul Fiqh termasuk Perkasa, wakil rakyat, syarikat korporat, penyelidik, sukarelawan dan para dermawan.

Satu keadaan yang terpaksa kita hadapi ialah tanggapan bahawa rumah perlindungan seperti Baitul Fiqh sebenarnya menggalakkan kes zina dan menambah bilangan bayi luar nikah.

Abu Hurairah juga meriwayatkan: “Bahawasanya Rasulullah SAW mencium Husin bin Ali (cucu baginda), maka berkatalah Al-Aqra’ bin Habbas: “Sesungguhnya bagiku ada sepuluh orang anak tetapi aku tidak pernah mencium satu pun dari mereka. Maka bersabdalah baginda: “Barang siapa tidak merahmati, dia tidak dirahmati.”

Hadis ini menceritakan bagaimana baginda Rasulullah SAW menegur sikap seorang sahabat yang tidak pernah menzahirkan kasih sayang terhadap anaknya. Baginda mengingatkan barang siapa tidak merahmati atau mengasihi, maka Allah SWT tidak merahmatinya.

Penulis ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan